Why Always Me !!!!
awan nano
Saturday, January 25, 2014
- Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
- Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.
- Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
- Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.
- Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
- Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
- Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
- Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
- Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
- Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
- Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
ⅰ- Pemimpin yang adil.
ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.
ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.
- Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
- Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.
- Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.
- ‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
- Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.
- Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.
- Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
- Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.
- Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.
- Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
- Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.
- Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
- Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.
- Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
- Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :
ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)
Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.
Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.
Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: ❝ Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. ❞ Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
① Sedekah/amal jariahnya.
② Doa anak²nya yang soleh.
③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.
BERSEDIAKAH KITA JIKA BERLAKUNYA ESOK? DGN AMALAN YANG SANGAT2 SIKIT.BAGAIMANA UNTUK KITA MENJAWAB TENTANG AMALAN2 YG TELAH DILAKUKAN?
Thursday, August 15, 2013
Pesan buat pemuda.
Jangan hangat-hangat tahi ayam !
Aug 14,2013
Jujur !
Air mata mana yang tidak tumpah !
Darah pemuda mana yang tidak bergelora !
Saat melihat, satu demi satu gambar rakyat Mesir yang syahid.
Dengan otak yang terburai, dengan darah merata-rata, dengan badan yang hangus terbakar !
Arghhh !!!! Rasa diri ini harus juga pergi ke Mesir saat ini dan berjihad !
Angkat senjata dan ? ? ? ?
Dan apa ?
Dan … syahid, terkorban ?
Lalu kita berazam dengan sepenuh hati sambil melaungkan kata-kata ini
” Aku mesti pergi berjuang dan mati syahid ! “
Takbir ! ! !
Dua tiga hari kemudian..
“Woii… kata nak main DOTA.. Cepatlah, aku tunggu ni … “
Ha ? Mana pergi semangat kita yang berkobar-kobar dulu.
Ini namanya semangat hangat-hangat tahi ayam
Realiti
Seringkali, semangat kita sebagai orang muda ini selalunya hanya hangat-hangat tahi ayam. Maaf kata. Tetapi itulah realitinya. Usah ditunding jari lebih jauh, lihatlah sendiri ke dalam diri kita. Sebagai seorang anak muda , saya akui, pernah sampai tidak tidur malam hanya untuk menghabiskan dokumentari tentang nasib rakyat Syria yang dibunuh oleh rejim Basyar Al Assad. Habis basah lecture note saya buat lap air mata.
Tapi, tak sampai dua tiga hari lepas tu, semangat saya mulai mereda. Pelik bukan ? Itu belum lagi masuk isu Palestin, rata-ratanya akan berakhir dengan tragedi yang sama. Semangat hangat-hangat tahi ayam ! Sekejap semangat sekejap tidak. Terasa sangat kecewa di situ.
Lalu, apakah solusi yang sebenar-sebenarnya kepada permasalahan ini ?
10 Nasihat Dr Raghib Sirjani (Ahli Ikhwan di dalam bukunya Pemuda peka zaman)
10 Nasihat ini, saya kira paling sentap buat renungan kita bersama. InsyaAllah ianya adalah solusi terbaik buat kita yang menghidap penyakit hangat-hangat tahi ayam ;
1) Tinggalkan perbuatan dosa dan maksiat sekarang juga !
Wahai anakku, (kata Dr Raghib Sirjani)
Orang yang melakukan maksiat tidak akan mampu untuk memberikan komitmen dalam perjuangan di jalan Allah ini.
Seperti mana pesan Saidina Umar Al Khattab kepada angkatan tentera Islam, ketika mana mereka mahu berangkat ke medan perang.
“Jangan sesekali kalian berbuat maksiat, sedangkan kalian berjuang di jalan Allah”
Juga kisah yang diceritakan oleh Dr Amr Khaled di dalam bukunya mengenai seorang pemuda yang datang kepada Saidina Ali lalu berkata ; “Aku khuatir bencana yang terjadi di seluruh negeri Muslim adalah kerana dosaku, sebab aku mengetahui betul dosa-dosaku “
Aku terkejut ! Aku merenung ! Benar apa yang dikatakan oleh pemuda itu. Tidak ramai yang mengerti akan hakikat ini. Sesungguhnya bencana turun kerana maksiat dan lenyap kerana taubat (Saidina Ali r.a).
2) Kenalilah Agamamu
Wahai anakku, (Pesan Dr Raghib) bagaimana mungkin anda ingin menunjukkan komitmen terhadap Islam sedangkan anda sendiri tidak mengenalinya ? Bagaimana anda akan berpegang teguh kepada sunnah, ajaran dan manhaj hidup Islam sedangkan anda tidak mengetahui asal usulnya ?
Justeru, jangan pernah berhenti belajar agama !
Analogi mudah,
Belajar agama ini macam ambil nutrisi untuk hidup.
Cukupkah sekadar makan nestum dari kecil sampai besar ? Cukupkah zat untuk terus hidup ?
Begitu juga dengan belajar agama. Agak-agaknya, cukup ke ilmu agama yang kita belajar setakat kafa 1-6 itu buat bekalan kita sampai akhir hayat ?
Dengan cabaran yang semakin dasyat. Ianya pasti tidak akan cukup.
Sama-sama renungkan.
3)Tambatkanlah hatimu dengan masjid
Wahai anakku, sesungguhnya orang yang hatinya terpaut dan cinta akan masjid, sebenarnya ia telah berhasil membina stamina keimanannya kepada Allah.
Seperti firman Allah swt di dalam Surah At Taubah ayat 18 :
“Hanyalah orang yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian “
4) Jadilah pemuda yang berprestasi
Dr Amr Khaled pernah berkata ;
‘Musibah terbesar umat ini, adalah bilamana pemuda hanya menganggap agama hanya ada di masjid”
Mereka sebenarnya lupa, bahawa, keputusan cemerlang dalam pelajaran sebagai contoh adalah kayu ukur untuk menilai betapa tingginya darjat sesuatu ummat itu ? Selain kepakaran di dalam beberapa bidang yang lain.
Katanya lagi ;
Sanggupkah engkau melihat, prestasi akademik mahasiswa nasrani (bukan Islam), mahasiswa yang menganut fahaman sekularisme, plurasime, liberalisme lebih baik daripada dirimu ?
Allah.. Ampunkan dosaku ini..
5) Sambungkan tali silaturahim
Wahai anakku, eratkanlah kembali hubungannmu dengan ibu bapa, kaum keluarga, serta sanak saudara. Perpaduan ummat pada masa kini tidak dapat dicapai melainkan dengan bermula daripada yang asas. Iaitu institusi keluarga.
6) Berhati-hatilah dalam memilih teman
Wahai anakku, meskipun stamina keimananmu terasa sudah mantap, tetapi jika engkau bergaul dengan orang-orang yang tidak baik, hal tersebut akan mengembalikan kondisimu ke titik permulaan atau atau bisa terjerumus ke titik yang paling rendah.
Jangan sesekali engkau berkata ;
“Saya akan menjaga diri dan saya tidak akan terpengaruh dengan mereka “
Sesekali jangan engkau katakan begitu. Kerana, sesungguhnya akhlak, agama dan tabiat seseorang serupa/ diukur dengan akhlak, agama dan tabiat temannya.
Adapun ada satu pesan daripada Syed Qutb, jika kita still mahu bergaul dengan mereka (dengan tujuan untuk berdakwah), kita haruslah beruzlah.
Istilah ini dinamakan sebagai “uzlah Syu’uriyah” -
Pengertian uzlah yg dimaksudkan ialah, pengasingan jiwa dpd turut dikotori atau dijangkiti noda-noda masyarakat jahiliyah dengan ;
a) Menjadi seorang yang punya qudwah.
b) Menunjukkan akhlak yg baik
c) Terus merasai ketinggian iman
Uzlah yg dimaksudkan juga adalah perbezaan.
a)Perbezaan antara golongan yg beriman dan kufur.
b)Perbezaan dari sudut pemikiran dan pandangan
c)Perbezaan dari sudut akhlak dan perlakuan.
7) Peduli terhadap realiti yang menimpa umat Islam
Wahai anakku, amatlah mustahil untuk anda mengubah nasib ummat ini, melainkan anda mengetahui dengan sebenar-benarnya masalah yang berlaku terhadap umat ini.
Maka, disiplinkan dirimu pada setiap hari untuk ;
-Membaca berita-berita dunia. (Subscribe, Al Jazeera, Preess tv, CNN, BBC, di phone atau gadget canggih masing-masing)
-Membaca situasi politik, terutamanya di negara timur tengah dan negara umat Islam keseluruhannya (melazimi untuk membaca majalah times, atau melayari web-web seperti Al Jazeera dan membaca journal-journal antarabangsa)
-Mengambil tahu perkembangan ekonomi dunia.
Ingatlah, tarbiyah kita adalah tarbiyah pejuang ! Bukan tarbiyah manja-manja ! Apatah lagi, tarbiyah buih sabun ! Justeru, hanya dengan mengetahui dengan benar kondisi sebenar umat Islam, barulah kepribadian muslim yang sempurna akan terbentuk agar umat ini dapat berdiri dengan kukuh dan kuat !
8) Jadilah seorang Olahragawan
Wahai anakku, badanmu harus sihat, cergas dan kuat !
Pukulan keras yang dilakukan oleh Muadz Bin Amr r.a kepada Abu Jahal hanya mampu dilakukan oleh olahragawan sejati !
Maka, pilihlah aktiviti sukan yang bermanfaat. Yang benar-benar memberi manfaat buat dirimu dan ummat mu ! Seperti (Karate, silat, taekwando, dan sebagainya). Sukan yang menguji kekuatan seperti angkat berat dan menunggang kuda. Sukan yang menguji stamina seperti futsal dan bola sepak. Badminton serta sebagainya.
Tetapi ingat ! jangan sampai dirimu leka dan lalai dengannya, sehingga mengahabiskan waktumu untuk ummat !
9) Ajaklah orang lain !
“Siapakah yang lebih baik perkataannya, daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal saleh dan berkata, ‘Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?” (Fushilat :33)
Maaf ikhwah, maaf sekali lagi ikhwah ! Jangan pernah merasa ekslusif !
Anda berbulatan gembira, bermain belon sabun air, berukhuwah manis-manis, namun apa guna andai itu semua tidak dapat kita aplikasikan dalam dunia sebenar !
Dunia realiti ! Usrah itu bukan hanya dalam lingkungan kita sahaja.Lingkungan orang baik-baik, tetapi usrah itu menuntut supaya kita berfikir untuk ummat, pergi lebih jauh, perhalusi setiap isu lebih dalam ! Pergi pada dunia luar, buka mata, buka telinga.
Jangan jadi orang yang syiok sendiri dengan tarbiyah. Sibuk hadam segala bagai buku fikrah dan dakwah, tapi bila sebut, isu umat Islam ?ha … terlopong .. isu Rohingya ? kaum gasar apa tu bro ? Isu kristianisasi ? kau biar betul ? Sekularisme ? Liberalisme ? Ha ? Lagi aku tak tau ?
Usrah macam ni, namanya usrah di bawah tempurung !
10) Uruskanlah waktumu dengan baik !
Akhir sekali, renungi dua pesan Imam Ghazali ini yang ditujukan khas buat pemuda
“Kehidupan ini cuma tiga detik ; sesaat yang berlalu tidak dapat kita ubah lagi, sesaat yang sedang dilalui ini manfaatkan sebaiknya dan sesaat yang akan tiba pasti kita temui”
dan
Wahai pemuda,
Gunakanlah waktu lapangmu dengan sebaiknya kerana,
Pengangguran adalah penyakit dan kesibukan itulah ubatnya. Seperti air yang diam menghanyutkan, menenggelamkan, mematikan, menjadi sarang nyamuk, membusuk, memburuk dan menimbulkan penyakit.
Siapa pun orangnya, selama dia menganggur di rumahnya, dia tidak akan pernah terlepas dari kemungkaran.
Kesimpulan
Inilah serba sedikit nasihat yang saya dapat kutip mengenai pemuda melalui pembacaan yang sedikit ini. Semoga kita dijauhkan daripada menjadi golongan pemuda yang leka dan lalai dalam hidup. Seperti mana yang disebutkan oleh Imam Hassan Al Banna di dalam risalah pemuda ;
”Ada pemuda yang lahir serta membesar di tengah-tengah umat yang keadaannya tenang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa. “
Tetapi menjadi golongan pemuda yang membesar di tengah-tengah umat yang berjuang dan dirinya turut berjuang. Berjuang bersama untuk mengembalikan kedaulatan Islam agar kembali kepada posisinya yang sebenar. Posisi yang lebih agung dan mulia.
Maka sahabat sekalian, mulai saat ini, ayuh kita berubah ! Jangan kita menunda-nunda lagi ! Jangan kita bertangguh-tangguh lagi ! Jangan kita bermalas-malasan lagi !
Kerana kita tidak tahu apa yang bakal menunggu kita dihadapan nanti ! Boleh jadi cabaran yang lebih besar bakal menghalang kita untuk berubah.
Dengan lafaz Bismillah..
Mulailah dari sekarang !
Mari kita sama-sama berubah !
Henshin !
p/s :
Rujukan ;
Pemuda Peka Zaman – Dr Raghib Sirjani
Buku Pintar Akhlak – Dr Amr Khaled
Risalah Pemuda – Imam Hassan Al Banna
oleh : Asyraf Farique
Wahai Pemuda:
Generasi kita sangat istimewa
Wahai Pemuda | Aku selalu dengar, kata-kata seperti…
“Kita dah makan garam banyak mana sekalipun, orang-orang tua dah makan garam lebih banyak daripada kita”
Aku punya respond…. Yup diorang dah banyak makan garam, tapi mungkin zaman sekarang ni bukan zaman orang perlukan garam, tapi zaman orang perlukan ajinamoto! (okay tak sihat)
Ada plak yang kata….
“Korang ingat korang matang sangat ke kat FB dan Blog untuk mengatakan orang lain tidak matang? Korang punya pengetahuan dan pengalaman tu terlalu cetek!”
Aku punya respond…. Tiada manusia yang mengetahui tahap pengetahuan dan pengalaman seorang individu melainkan jika dia memang mengenalinya dengan mendalam…. Rasulullah dan Omar (sahabat yang mempunyai kefahaman paling power) sendiri tidak memandang pada umur seseorang, tetapi memandang kepada kualiti seseorang… sehinggakan seorang pemuda boleh memasuki syura tertinggi Omar, iaitu Ibnu Abbas….
Of coz, seperti majoriti orang-orang dewasa sekarang, orang-orang dewasa zaman Omar juga membangkang kerana merasakan Ibnu Abbas terlalu muda…. Semuda anak-anak mereka… Namun Omar membackup Ibnu Abbas dengan pelbagai hujah dan beliau tetap dengan pendiriannya
Aku masih lagi seorang pemuda. Alhamdulillah… Dan atas sebab tu aku sangat meyakini bahawa masa depan dunia ini terletak di tangan pemuda pada masa sekarang, seperti yang dikatakan oleh sadina Ali:
“Kalau engkau ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah kepada pemuda-pemudanya”
Sultan Muhammad Al-Fatih menawan Constantinople pada umur 21 tahun, tidakkah pada ketika itu beliau merupakan seorang pemuda?
Umar Abdul Aziz mula menjadi seorang gabenor Madinah pada usia 23 tahun, tidakkah pada ketika itu beliau merupakan seorang pemuda?
Malahan pernah suatu hari Omar menyuruh untuk para sahabat ‘bermimpi’…. Maka ada yang mengatakan aku bermimpi untuk mempunyai emas yang setinggi gunung, supaya boleh menginfakkan kepada Allah, ada pula yang mengimpikan berlian
Tetapi Omar mengimpikan pemuda-pemuda seperti Abu Ubaidah Al-Jarrah, Muaz Bin Jabal dan Salim hamba Huzaifah, supaya beliau dapat menggunakan mereka untuk menegakkan kalimah Allah!
Wahai Pemuda
Generasi pemuda zaman kini sangat berbeza daripada zaman dahulu, malahan sangat berbeza dengan generasi pemuda 10 tahun dahulu… Kenapa? Kerana sekarang ini zaman teknologi maklumat, golongan pemuda kini mampu mengetahui isu-isu semasa dalam dan luar negara, dari isu politik, ekonomi sehingga isu-isu agama, dengan melakukan sesuatu yang mereka sukai, iaitu bermain FB…
Golongan pemuda kini juga mampu memiliki segala cabang ilmu dari hujung-hujung jari mereka, sebut sahaja inginkan ilmu berkaitan jantung? Ataupun inginkan ilmu berkaitan kereta hybrid? Ataupun inginkan ilmu berkaitan beza antara insurans dan takaful? Ataupun inginkan dalil-dalil untuk apa-apa sahaja amalan daripada dalil bacaan solat sehinggalah dalil hudud, semuanya boleh dijumpai di internet
Jika dahulu antara ciri-ciri yang menjadikan ISHAB power adalah kerana dia menyaksikan pelbagai saat-saat bersejarah di zamannya… Hakikatnya zaman kini mampu melahirkan ribuan malahan jutaan pemuda yang mempunyai ciri tersebut…. Berapa ribu atau jutaan pemuda seluruh dunia yang menyaksikan saat-saat jatuhnya Hosni Mubarak secara live? Berapa ribu atau jutaan pemuda yang menyaksikan kejadian Mavi Marmara yang direkod ketika kejadian itu berlaku? Berapa ribu atau jutaan pemuda zaman sekarang yang sudah mula memahami korupsi yang berlaku di dalam dan luar negara? Yang menyaksikan bagaimana ulama-ulama dalam dan luar negara berbeza pendapat? Yang menyaksikan Palestin diterima masuk Unesco yang hanya berakhir dengan dipercepatkan penjajahan tanah Palestin kepada Israel!!??
Adakah golongan dewasa zaman sekarang mendapat nikmat sebegitu pada zaman mereka masih seorang pemuda?
Tidak… Maka bersyukurlah kepada Allah atas nikmat ini….
Zaman sekarang ini seorang individu mampu untuk menggegarkan dan menyampaikan mesej kepada seluruh negara sehingga membuka mata semua orang… Dan pemuda adalah golongan yang mempunyai pemikiran yang ‘jernih’, yang mampu untuk menilai semua perkara dan menilai apa yang baik dan apa yang buruk, tanpa begitu ‘bias’ kepada satu-satu pihak… kerana kita masih muda, dan tidak dicemari dengan pengalaman-pengalaman pahit yang besar….
Wahai Pemuda
Kitalah generasi yang akan memimpin dunia pada masa hadapan. Jika kita inginkan perubahan pada pemimpin maka ubahlah diri kita supaya kita akan menjadi pemimpin pada masa hadapan se’ideal’ yang kita harapkan sekarang….
Jika kita harapkan pada masa hadapan ekonomi Islam akan kembali, maka kaji dan sebarkanlah kefahaman ekonomi Islam itu kepada member-member kita dan adik-adik kita dari sekarang lagi, semoga dengan itu dalam 30 tahun lagi semua masyarakat yang menjadi ‘key player’ pada masa itu memahami konsep ekonomi Islam yang sebenarnya
Jika kita harapkan Malaysia ini menjadi sebuah negara Islam… Maka marilah kita mentarbiyah kawan-kawan kita zaman sekarang dengan tarbiyah Islam yang sebenar-benarnya…. Dengan akhlaq Al-Quran, dengan ibadah Rasulullah, dengan aqidah Allah dan Akhirat… semoga dengan itu apabila pemuda-pemuda sekarang menjadi ibu bapa, maka mereka akan menanam tarbiyah yang sama malahan lebih baik lagi kepada anak-anak mereka
Dan akhirnya generasi selepas kitalah yang akan menjadi generasi yang dipenuhi dengan rijal-rijal Islam sejak kecil lagi…. Yang menjadi generasi yang bermimpikan untuk membuka Rom Barat sejak umur 6 tahun lagi… Yang menjadi hafiz pada usia semuda 10 tahun, Yang akan menggegarkan negara dan dunia dengan kebenaran Islam pada usia belasan tahun…
Dan pada ketika itu kitalah yang akan menjadi syeikh-syeikh kepada mereka… Maka bersiapkanlah diri kita untuk menjadi pembangkit semangat, menjadi tempat rujukan ilmu, dan menjadi penyokong tempat mereka mengadu jika mereka ditimpa ujian….
Diharapkan post ini dapat menyedarkan semua pemuda….
Cukup-cukuplah main game, cukup-cukuplah tengok cerita korea, cukup-cukuplah meluangkan masa untuk benda-benda yang tidak berfaedah
Kerana kita sepatutnya sedar bahawa masa depan dunia berada ‘di tangan’ kita (dengan izin Allah)…. Dan kita sepatutnya sedar bahawa kita perlu mempersiapkan diri kita untuk masa hadapan, masa di mana kita akan menjadi pemimpin dan rujukan kepada orang-orang yang lebih muda daripada kita
Dakwah ini sya’bun (rumit) tapi hasilnya tsabit (tetap)
Dakwah ini thawil (panjang) tapi hasilnya ashil (asli)
Dakwah ini bathi’ (lambat) tapi hasilnya ma’mun (terjamin)
Wahai Pemuda, kita adalah generasi pemuda yang baru, sangat istimewa dan berkelebihan berbanding generasi-generasi pemuda sebelum kita
p/s: gembira dengan perubahan sambutan tahun baru di Malaysia, dihadiri 70,000 orang pemuda, untuk mendengar ceramah sambil menyambut tahun baru
*Sekiranya anda merasakan artikel Wahai Pemuda: Generasi kita sangat istimewa ini bermanfaat sila sebarkan untuk kebaikan bersama
(copy from)
Izzuddin Yussof
Economics and Actuarial Science
University of Southampton
Friday, June 15, 2012
"wahai yang berselimut, bangun serta berilah inzar". seolah-olah seruan berkata: Sesungguhnya orang yang hidup untuk dirinya sahaja akan hidup penuh kerehatan, engkau ini adalah orng yang memikul tanggungjawab besar. kedatangan mu bukan untuk tidur! dan bukan untuk berehat, bukan untuk berenak-enakdengan selimut yang mendakap! bukan untuk hidup yang tenang! dan bukan untuk berhibur dengan barang yang menyeronokkan, ayuh! bangun segera untuk tugas yang besar, yang sedang menunggu engkau, kewajipan yang berat sudah pun disediakan untuk kau laksanakan, ayuh bangunlah untuk berkecimpung dan menggarapnya, kau harus hadapi kepenatan dan kesusahan, ayuh bangunlah segera, kini masa berehat dan tidur sudah tidak ada lagi bagimu, yang ada hanyalah berjaga malam yang berterusan dan perjuangan yang panjang lagi membebankan, ayuh bangun dan persiapkan dirimu untuk kesemuanya itu.
-ayat yang pertama mengandungi seruan ilahi dalam satu nada yang tinggi lagi agung, menyeru Rasulullah (s.a.w) dengan perintah agung ini, merentap Baginda dari kenyenyakan tidur dan kesedapan berselimut, membawa Baginda ke medan jihad, perjuangan dan kesusahan.-
-ayat yang pertama mengandungi seruan ilahi dalam satu nada yang tinggi lagi agung, menyeru Rasulullah (s.a.w) dengan perintah agung ini, merentap Baginda dari kenyenyakan tidur dan kesedapan berselimut, membawa Baginda ke medan jihad, perjuangan dan kesusahan.-
Thursday, March 15, 2012
Sunday, March 11, 2012
Friday, February 3, 2012
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum...
Segala pujian dan sanjungan kepada Allah s.w.t, yang membimbing manusia menuju kebahagiaan menerusi iman yang mantap dan dada yang lapang. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang membawa ajaran agama yang suci menuju kesejahteraan dan kedamaian di dunia dan akhirat.
Tujuan utama blog ini ditulis tidak lain adalah untuk memotivasikan diri, dan juga berkongsi sedikit sebanyak info yang bermanfaat agar dapat memberi kesan serta inspirasi kepada pembaca yang melayari blog ini.
Subscribe to:
Posts (Atom)
.jpg)